1 MALAYSIA MEMBANTERAS DADAH

1 MALAYSIA MEMBANTERAS DADAH

Pengenalan

LATAR BELAKANG

Dadah merupakan salah satu masalah sosial yang amat rumit dan sedang dihadapi oleh semua negara di dunia, tidak terlepas juga negara kita Malaysia. Masalah dadah ini telah mula bertapak di negara kita sejak tahun 1970 – an lagi, tetapi sehingga kini masalah ini masih tidak dapat diselesaikan, walaupun terdapatnya tanda – tanda pengurangan namun masalah ini tetap menjadi musuh nombor satu negara. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh United Nation International Drugs Control, seramai 24,023 orang penagih dadah telah dikenalpasti di Malaysia pada tahun 2003. Daripada bilangan ini, sebanyak 59.3% dari bilangan ini adalah penagih yang menagih semula manakala sebanyak 10,216 orang telah ditangkap kerana kesalahan bersabit dengan dadah. Statistik terkini yang telah dikeluarkan oleh Agensi Antidadah kebangsaan melalui sistem NADI menunjukkan terdapat seramai 14,489 orang penagih dadah berbanding 22,811 orang penagih dadah telah dikesan untuk tempoh januari sehingga disember 2007 berbanding tahun sebelumnya. Ia menunjukkan terdapatnya penurunan sebanyak 36.48%. Bilangan ini terdiri daripada 6,679 orang (46.10%) penagih baru manakala seramai 7,810 orang penagih berulang. Walaupun pola perangkaan menunjukkan penurunan namun masalah penyalahgunaan dadah masih tetap menjadi cabaran utama kepada negara. Penurunan perangkaan ini mempunyai kaitannya dengan perluasan program methadon maintenance therapy yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kemajuan teknologi dan pengenalan dunia tanpa sempadan telah memberikan kesan yang amat mendalam kepada kegiatan penggunaan dadah dalam kalangan masyarakat terutamanya dikalangan belia. Trend perangkaan bagi 10 tahun kebelakang menuntukkan ketekalan golongan remaja sebagai kumpulan utama yang terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah. Keadaan ini amat membimbangkan kerajaan kerana ia merupakan faktor risiko kepada pembangunan modal insan negara. Selain itu juga ketidakstabilan politik dan ekonomi banyak mempengaruhi perkembangan pengedaran dadah di dalam dan di luar negara, disamping kemudahan komunikasi dan pengangkutan yang lebih cekap dapat membantu kegiatan mereka daripada dikesan oleh pihak berkuasa tempatan.

Penyalahgunaan dadah kini telah melibatkan semua golongan yang terdiri daripada berpendidikan tinggi, profesional, penganggur dan tidak berpendidikan. Penyalahgunaan dadah ini turut menyumbang kepada gejala dan penyakit sosial seperti pelacuran, budaya melepak, perjudian, ragut, rompakan dan sebagainya, keadaan ini akan mengugat keamanan dan keselamatan negara sekiranya penyalahgunaan dadah ini tidak dibendung dan sekaligus merosakkan belia dan generasi kita yang akan datang.

Pihak kerajaan telah mensasarkan negara bebas dadah pada tahun 2015 dan ianya satu usaha yang perlu penglibatan seluruh rakyat malaysia. Kerajaan telah memberi mandat kepada Agensi Antidadah Kebangsaan selaku agensi utama dalam membenteras dan memerangi musuh dadah namun tanpa usaha dan bantuan seluruh rakyat malaysia dan pelbagai pihak maka matlamat ini tidak akan tercapai dalam menjayakan misi negara ini.

Bagi mencapai hasrat murni negara, setiap segmen dan unit organisasi mesti memainkan peranannya dalam membangkitkan masyarakat sivil untuk menentang gejala dadah ini dalam bentuk yang berbagai. Komuniti mempunyai peluang dan antara kuasa terbesar yang merupakan himpunan sumber manusia yang berpotensi tinggi dalam menentukan kejayaan program pencegahan penyalahgunaan dadah dan sekali gus membangunkan kelompok komunitinya sendiri. Oleh kerana masalah dadah datangnya dari komuniti maka komunitilah yang boleh diharapkan lebih berkaliber dalam memerangi masalah ini. Namun kemahiran dalam kalangan ahli komuniti perlu disediakan bagi membantu mereka merancang, melaksana dan menilai program pencegahan dengan lebih bermakna. Pemimpin dan ahli komunti mestilah disediakan dengan ilmu pengetahuan dan kesedaran yang mencukupi bagi membolehkan mereka memainkan peranan dalam usaha mencegah, merawat, memulih, menyediakan penjagaan lanjutan dan melindungi golongan yang lebih muda daripada mereka. Oleh itu ACREDA, SPADA , FKP mewakili Universiti Sains Islam Malaysia dan UMS dengan bantuan daripada Kementerian Pengajian Tinggi, dan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan, PETRONAS, PEMADAM serta agensi lain bercadang untuk mengadakan sebuah seminar kebangsaan untuk komuniti membicarakan peranan mereka secara terancang. Seminar ini akan menjadi satu platform kepada perbincangan dan perkongsian ilmu dalam isu penyalahgunaan dadah untuk para pemimpin komuniti dari seluruh negara untuk membolehkan mereka mendapatkan input dan kemudian di sebarluaskan di dalam komuniti mereka kelak.  

0 Ulasan / Response to "Pengenalan "

Post a Comment